Batu Pahat: Yayasan Johor Corporation (Yayasan JCorp) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menjalin kerjasama strategik bagi memastikan alunan muzik warisan terus bergema, sekali gus menyokong kesinambungan seni tradisi terutamanya ghazal dan gambus.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan JCorp Datuk Mizan Yahya berkata, kerjasama menerusi pemeteraian Surat Niat (LOI) itu merangkumi latihan, bengkel, pendokumentasian sejarah serta perkongsian teknik persembahan di pentas.

Beliau berkata kerjasama berkenaan dapat menghubungkan kemeriahan di pentas dengan usaha jangka panjang bagi membangunkan bakat, merakam pengetahuan seni dan memastikan warisan muzik tradisional terus dipelajari generasi akan datang.