MELAKA: Pakatan Harapan (PH) menyandarkan pengalaman calon dalam tadbir urus dan perkhidmatan awam bagi mencapai sasaran memenangi 18 daripada 24 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari, berkata keupayaan calon menjadi satu daripada tiga faktor utama yang dinilai dalam menetapkan sasaran berkenaan, selain kekuatan jentera parti dan tahap sokongan rakyat.
"Ada calon yang memiliki pengalaman, ada calon yang walaupun baru, tapi sebahagiannya memang mempunyai pengalaman di pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Ada juga calon yang ada pengalaman dalam pentadbiran kerajaan termasuk di kerajaan Persekutuan, selain bekas anggota perkhidmatan awam," katanya pada sidang media harian PH di Bilik Gerakan Utama PH, di sini, hari ini.








