KOTA KINABALU: Sabah FC berusaha untuk mengekalkan kedudukan sekurang-kurangnya di tangga kelima carta Liga Super sehingga selesai baki lima perlawanan dalam pusingan pertama musim ini.

Penolong Ketua Jurulatih Sang Badak, Alto Linus, mengakui bukan mudah untuk konsisten setelah memperbaiki kedudukan ke tangga kelima selepas menewaskan Terengganu FC (TFC) 2-0 di Stadium Likas, di sini, malam tadi.

Bagaimanapun, katanya pasukan perlu mencapai sasaran yang ditetapkan dan pemain perlu bekerja keras untuk memastikan kedudukan sekarang kekal atau ditingkatkan lagi.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan Sabah berpotensi untuk naik ke tangga kedua atau ketiga carta liga jika pemain dapat memperbaiki lagi prestasi pada perlawanan seterusnya.