Kuala Lumpur: Momentum positif yang mula ditunjukkan skuad kebangsaan di pelbagai peringkat usia perlu dikekalkan bagi memastikan perkembangan bola sepak negara terus berada pada landasan tepat.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Ab Ghani Hassan berkata, perkembangan memberangsangkan itu dapat dilihat menerusi pencapaian beberapa pasukan negara termasuk skuad bawah 19 (B-19), B-17 wanita, B-15 serta skuad senior kebangsaan.

Antara perkembangan positif itu ialah kejayaan skuad B-19 melayakkan diri secara merit ke Piala Asia B-20 di China tahun depan, selain aksi membanggakan skuad wanita B-17 dalam kempen Kelayakan Piala Asia baru-baru ini.

Tidak ketinggalan, skuad B-15 negara turut mencuri perhatian apabila menamatkan kempen Festival dan Piala Dunia B-15 FIFA 2026 di Azerbaijan pada kedudukan ke-56 daripada keseluruhan 189 pasukan bertanding.