PETALING JAYA: Keupayaan taktikal menjadi sandaran utama skuad Bawah 15- tahun (B-15) kendalian P. Maniam dalam misi mencipta impak pada Festival Piala Dunia B-15 2026 di Baku, Azerbaijan, dari 24 hingga 30 Oktober ini.

Maniam berkata, biarpun Malaysia tidak memiliki kelebihan fizikal berbanding pencabar antarabangsa, skuad muda negara mempunyai kekuatan tersendiri menerusi aspek taktikal yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya sepanjang kejohanan.

Katanya, pendekatan itu membuka ruang kepada pemain untuk membuktikan kemampuan mereka dalam mengimbangi kekurangan fizikal menerusi disiplin permainan, pemahaman taktikal dan pelaksanaan strategi yang tepat di atas padang.

“Malaysia biasanya kita kurang dari segi fizikal. Kita tidak mempunyai pemain yang besar dari segi fizikal, tetapi kita bagus dari segi taktikal. Ini peluang untuk pemain mempamerkan kelebihan mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.