KUALA LUMPUR: CIMB OCTOFest 2026 yang diperluaskan ke empat negeri berjaya menarik 100,000 pengunjung, selain menyokong lebih 255 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan menjana peluang jualan berjumlah RM1.2 juta kepada perniagaan yang terbabit.
Acara tahunan anjuran CIMB Bank Bhd (CIMB) itu menghimpunkan pelanggan, masyarakat dan perniagaan menerusi budaya tempatan, makanan, gaya hidup sihat dan muzik.
Festival yang dijalankan di Pulau Pinang, Kuantan, Johor Bahru dan Kuala Lumpur sepanjang Oktober itu mengukuhkan komitmen CIMB dalam mencipta pengalaman bermakna yang lebih mudah diakses kepada warga Malaysia.
Ketua Pegawai Jenama dan Pemasaran CIMB, Toni Darusman, berkata OCTOFest mencerminkan komitmen bank itu untuk memajukan pelanggan, perniagaan dan masyarakat dengan mewujudkan hubungan bermakna antara komuniti dan usahawan tempatan.









