KUALA LUMPUR: Sabah dan Sarawak tidak pernah dipinggirkan dalam peruntukan pembangunan jalan luar bandar, sebaliknya kedua-dua negeri itu terus diberi keutamaan dengan peruntukan yang meningkat hampir tiga kali ganda bagi tempoh 2023 hingga 2027 berbanding lima tahun sebelumnya, kata Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Menurut bekas Menteri Kewangan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu, perbelanjaan jalan luar bandar bagi tempoh 2018 hingga 2022 berjumlah RM3.7 bilion manakala bagi tempoh 2023 hingga 2027 meningkat kepada RM11 bilion, termasuk peruntukan tahun ini dan tahun hadapan.
Beliau berkata, peningkatan itu mencerminkan komitmen kerajaan terhadap pembangunan infrastruktur luar bandar khususnya di Sabah dan Sarawak yang setiap tahun menerima kira-kira separuh daripada keseluruhan perbelanjaan jalan luar bandar negara.








