PETALING JAYA – Acara Grand Prix Motosikal Malaysia (MotoGP) yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini menyaksikan satu detik bersejarah apabila Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza diberi penghormatan menyampaikan lagu kebangsaan, Negaraku.
Siti atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Tarudin, 47, mencuri perhatian ramai apabila nyanyiannya sebelum perlumbaan MotoGP bermula dikatakan sangat merdu dan berjaya memukau ramai, sekali gus video yang nyanyian beliau tular dalam media sosial.
Momen bersejarah tersebut turut disaksikan barisan pelumba elit antarabangsa, para orang kenamaan termasuk kehadiran Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bukan sahaja nyanyian, penampilannya dengan busana tenun berwarna biru dan lengkap berselendang turut mengundang pujian ramai kerana membawa identiti Malaysia di mata dunia.









