TUMPAT: Empat termasuk seorang wanita dari negara jiran ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas mereka disyaki terbabit dalam kegiatan penyeludupan dan kemasukan secara haram di sepanjang sempadan Kelantan-Thailand hasil pemantauan menggunakan dron.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain, berkata penahanan itu dilakukan dalam empat operasi berasingan antara 10 hingga 16 Oktober lalu dengan tiga daripadanya di Rantau Panjang dan seorang Pengkalan Kubor.

"Operasi berkenaan turut membawa kepada rampasan kenderaan, rokok seludup, air ketum dan produk makanan Thailand yang keseluruhannya bernilai RM168,800," katanya selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Operasi Taring Wawasan Kelantan (OTWK) daripada Batalion 9 kepada Batalion 7, di sini hari ini.