KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan kewujudan mafia korporat di negara ini secara bebas termasuk kemungkinan penglibatan agensi penguatkuasa.

Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) berkata, penubuhan RCI penting bagi memastikan dakwaan berkenaan disiasat secara menyeluruh memandangkan isu itu turut memberi kesan kepada ekonomi negara, termasuk Bursa Malaysia.

Menurut beliau, dakwaan berkenaan juga menjejaskan imej Kerajaan Madani dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, laporan penyiasatan dan dokumentari video Bloomberg pada 11 Februari 2026 mendakwa wujud rangkaian tidak sah atau mafia korporat yang menyasarkan pengambilalihan syarikat melalui kaedah pemerasan dan penyalahgunaan kuasa pegawai penguatkuasa.