Kuala Lumpur: Kesesakan lalu lintas di Bukit Jalil, khususnya ketika penganjuran konsert dan acara berskala besar, mendorong kerajaan meneroka penyelesaian bandar pintar, selain memperincikan pelan kawalan trafik bagi meningkatkan kelancaran pergerakan kenderaan di kawasan berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Fadlun Mak Ujud sudah melantik perunding bagi menyediakan kajian pelan kawalan mikro Bukit Jalil, yang mengambil kira pelbagai isu dibangkitkan penduduk, termasuk masalah kesesakan lalu lintas dan dijangka siap pada suku pertama 2027.
Beliau berkata, kajian itu penting memandangkan Bukit Jalil mempunyai ciri tersendiri sebagai hab penganjuran acara dan konsert yang menjana aliran trafik tinggi, sekali gus memerlukan pendekatan pengurusan trafik khusus berbanding kawasan lain.








