Kerk Chee Yee menjadi Adun Ayer Keroh sejak 2018, meneruskan penguasaan DAP di kerusi itu sejak 2008.HANG TUAH JAYA: DAP perlu mempertahankan kerusi Ayer Keroh pada PRN Melaka akan datang bagi membuktikan Pakatan Harapan (PH) masih mendapat sokongan merentasi kaum, kata penyandang kerusi itu, Kerk Chee Yee.

Kerk, yang memburu penggal ketiga, berkata komposisi pengundi berbilang kaum di kawasan itu menjadikannya sebuah 'kerusi marginal' yang boleh berubah tangan.

“Memandangkan Ayer Keroh merupakan kawasan campuran, saya berpendapat keputusan pilihan raya di sini amat signifikan,” katanya kepada FMT.

“Ini menjadikan DAP perlu membuktikan, dalam konteks politik semasa, bahawa PH masih merupakan gabungan yang diterima semua kaum.”