KESIBUKAN kerja dan tanggungjawab terhadap keluarga tidak menghalang Muhammad Syazani Jemy, 28, daripada terus mengulang hafazan 30 juzuk al-Quran dan mengekalkan penguasaan 10 qiraat setiap hari.
Bagi anak kelahiran Kluang, Johor ini, menghafaz al-Quran bukan sekadar usaha mengingati setiap ayat, sebaliknya amanah yang menuntut disiplin, pengorbanan masa dan pengulangan berterusan sepanjang hayat.
Kesungguhan itu membuahkan hasil apabila beliau muncul naib johan kategori Hafazan 30 Juzuk dengan Qiraat 10 pada Libya International Holy Quran Award 2026 di Sirte, Libya, baru-baru ini.
Kejayaan itu turut menjadi penyertaan antarabangsa ke-12 buatnya sejak 2015, selepas mewakili Malaysia dalam pelbagai pertandingan hafazan al-Quran di beberapa negara.








