BUAT sekian kalinya banjir kilat berlaku akibat hujan lebat luar biasa. Kelmarin, giliran beberapa kawasan di Selangor termasuk Kampung Melayu Subang, Denai Alam, Puncak Alam, Sungai Buloh dan Saujana Utama dilanda banjir kilat, manakala laluan berhampiran plaza tol Bukit Jelutong turut dinaiki air. Kedua-dua arah Lebuhraya Baharu Lembah Klang (NKVE) antara Shah Alam dengan Setia Alam pula terpaksa ditutup sementara, manakala dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka untuk menempatkan penduduk terjejas.

Nampaknya, banjir tidak lagi memerlukan hujan sepanjang hari atau berhari-hari untuk menyebabkan air melimpah ke kawasan perumahan dan penempatan, menjejaskan rangkaian jalan raya serta melumpuhkan kegiatan harian. Dalam tempoh relatif singkat, air boleh naik mendadak hingga menimbulkan persoalan apakah sebenarnya berlaku kepada sistem perparitan, saliran dan perancangan pembangunan bandar kita?