KUALA LUMPUR: Selepas mengungguli trofi Pelakon Lelaki Harapan pada Festival Filem Malaysia (FFM) ke-33, dua tahun lalu, pelakon Aniq Durar seolah-olah 'menghilang' daripada radar industri, sekali gus mencetuskan tanggapan kerjaya seninya dilanda 'badi' kemenangan.
Namun, pelakon berusia 33 tahun itu menepis dakwaan berkenaan, sebaliknya menegaskan perjalanan seninya masih rancak meskipun belum banyak karya lakonannya menemui penonton.
Anak jati Kuching, Sarawak itu berkata, sepanjang dua tahun lalu, dia sudah menjayakan lima filem yang kini masih dalam proses pascapenerbitan.
Katanya, kelewatan karya berkenaan ditayangkan menyebabkan kelibatnya kurang kelihatan di layar perak dan televisyen, sekali gus menimbulkan persepsi dirinya semakin menyepi.









