TUMPAT: Dua kali menyambut Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri dalam kebimbangan di rumah yang hampir menyembah bumi, seorang ibu tunggal dari Kampung Jubakar Pantai di sini akhirnya menarik nafas lega apabila rumah baharunya siap dibina selepas hampir dua tahun menanti.

Noraini Nawi, 40, yang kehilangan rumah akibat banjir besar pada 2024, bersyukur apabila rumah tiga bilik di bawah Program Bina Baharu Rumah Dibandar (PBBR) Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu siap dibina pada 23 Ogos lalu.

Rumah baharu itu dibina di atas tapak rumah pusaka pe­ninggalan ibunya yang rosak teruk dan sebahagiannya runtuh dihanyutkan arus deras banjir.

Lebih memilukan, sepanjang tempoh menunggu rumah baharu itu disiapkan, Noraini terpaksa terus tinggal di kediaman yang rosak bersama kakaknya yang juga orang kurang upaya (OKU), Norma, 43, serta dua anaknya, Che Natasha Safia Che Ali, 15, dan Che Najihan Syahrizal, 12.