Putrajaya: Pendakwah selebriti Da'i Syed atau Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan di sini hari ini, atas pertuduhan merogol seorang wanita, tujuh tahun lalu.
Keputusan itu dibuat majoriti 2-1 dengan hakim Datuk Azman Abdullah yang mengetuai panel dan Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid membenarkan rayuan akhir Da'i Syed manakala Hakim Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid menentang keputusan itu.
Semasa membaca keputusan itu, Azman berkata, pembelaan perayu berjaya menimbulkan keraguan munasabah.
"Sabitan terhadap perayu adalah tidak selamat, rayuan perayu dibenarkan, hukuman pemenjaraan 10 tahun tiga sebatan oleh mahkamah tinggi diketepikan," kata Azman ketika membaca penghakimannya.








