KOTA BHARU: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) merekodkan sebanyak 1,446 kes khalwat dalam tempoh tiga tahun dengan golongan remaja mencatatkan jumlah tertinggi daripada keseluruhan kes berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd. Asri Mat Daud berkata, ia adalah sebahagian daripada 2,135 kes tangkapan berkaitan kesalahan jenayah syariah yang direkodkan jabatan berkenaan sepanjang 2023 hingga 2025.
Katanya, kes khalwat menjadi kesalahan paling banyak direkodkan menerusi operasi penguatkuasaan Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah JAHEAIK.
“Daripada keseluruhan kes khalwat direkodkan, kes melibatkan kesalahan di peringkat remaja adalah paling banyak sepanjang tempoh berkenaan,” katanya ketika menjawab soalan Dr. Hafidzah Mustakim (PH-Kota Lama) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.







