Suspek direman empat hari bermula 2 Nov hingga esok.PETALING JAYA: Tiga individu termasuk seorang pemilik syarikat bergelar Datuk direman kerana disyaki memberi rasuah kira-kira RM1 juta kepada anggota dan pegawai polis.

Rasuah itu sebagai balasan melindungi dan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas aktiviti penyeludupan rokok haram.

Sumber berkata, semua suspek direman empat hari bermula 2 Nov hingga esok.

Katanya, suspek terdiri seorang lelaki iaitu pemilik syarikat dan dua wanita termasuk guru tuisyen dan pegawai pemasaran berusia lingkungan 30 hingga 50-an ditahan kira-kira 4 petang, 1 Nov di beberapa lokasi berasingan sekitar Putrajaya, Selangor, dan Johor.