KEMAJUAN teknologi digital membuka ruang luas kepada pertumbuhan ekonomi, pelaburan dan penyampaian perkhidmatan awam. Namun, kebergantungan semakin tinggi terhadap sistem digital turut mendedahkan negara kepada ancaman baharu yang tidak kurang bahayanya, iaitu serangan siber dan peperangan hibrid.

Pendedahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat kelmarin mengenai risiko Malaysia menjadi sasaran serangan siber rentas sempadan wajar diberikan perhatian serius.

Kedudukan negara berkembang sebagai hab pusat data global, selain lantang bersuara membela Palestin, berpotensi meningkatkan risiko Malaysia menjadi sasaran penggodam.

Dalam keadaan ini, keselamatan siber bukan lagi sekadar urusan teknikal atau tanggungjawab agensi tertentu, sebaliknya menjadi sebahagian daripada agenda keselamatan dan kedaulatan negara.