JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang memasang misi besar untuk melengkapkan legasinya dengan penampilan keenam pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028 sekiranya berjaya melepasi kelayakan.
Pelumba berusia 38 tahun itu mengakui masih mempunyai perkara yang belum diselesaikan selepas kempen Paris 2024 berakhir dengan kekecewaan apabila disingkirkan pada pusingan pertama acara keirin kerana memotong derny.
Kegagalan menampilkan kemampuan sebenar di Paris menyebabkan Azizulhasni terus dibayangi rasa tidak puas hati, sekali gus mendorongnya kembali daripada persaraan sementara untuk memburu satu lagi peluang di pentas Olimpik.
“Saya membuat keputusan untuk kembali kerana di Paris, saya tidak dapat berlumba dengan baik dan tidak berpeluang menunjukkan prestasi sebenar. Selepas bersara selepas Paris, setiap hari saya bangun dengan perasaan tidak puas hati, seolah-olah ada sesuatu yang belum selesai,” katanya.








