Kuala Lumpur: United Kingdom (UK) berhasrat memperkukuh perkongsian strategik dengan Malaysia menerusi projek kerjasama konkrit dalam bidang perdagangan, pendidikan, pertahanan, teknologi dan tenaga bersih menjelang ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik kedua-dua negara pada tahun depan.
Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia Ajay Sharma berkata, kedua-dua negara perlu mempergiat usaha bersama bagi menterjemahkan hubungan yang telah lama terjalin kepada hasil nyata yang memberikan manfaat bersama.
"Semangat perkongsian berasaskan kepercayaan dan persefahaman yang dibina sejak berabad-abad lalu menjadi teras hubungan UK-Malaysia ketika kita mengharungi cabaran masa kini dan bersama-sama membina masa depan," katanya.








