RANTAU PANJANG: Penangguhan projek tebatan banjir Sungai Golok, di sini sehingga tahun hadapan membimbangkan lebih 20,000 penduduk yang mendakwa akan terus menderita menghadapi bencana banjir sehingga 30 tahun lagi.
Situasi itu mengecewakan ketika pembinaan tebatan banjir Sungai Golok di sebelah Thailand pula dilihat semakin rancak.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Banjir Kampung Tersang, Mohd. Ariffin Ismail berkata, kelewatan berterusan pembinaan projek itu menyebabkan penduduk terus terdedah kepada ancaman banjir.
Katanya, ia bukan sahaja melibatkan soal harta benda malah boleh mengancam keselamatan nyawa kerana situasi banjir yang melanda lebih 30 buah kampung berhampiran projek ini semakin sukar diramal.








