BATU GAJAH: Seramai 58 banduan menerima khabar gembira apabila dikurniakan pengampunan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena sambutan ulang tahun keputeraan baginda yang ke-70, sekali gus dibebaskan lebih awal daripada tarikh pembebasan sebenar.

Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Keselamatan dan Koreksional), Rosoman Abu Bakar, berkata daripada jumlah itu, seramai 37 prospek dibebaskan di Pusat Koreksional Batu Gajah, hari ini, manakala baki banduan dari beberapa institusi penjara lain termasuk Penjara Tapah, Pusat Koreksional Kamunting, Penjara Taiping, Penjara Seberang Perai serta Negeri Sembilan susulan permohonan perpindahan sebelum ini.

"Daripada 58 prospek diampunkan ini, 55 daripadanya adalah lelaki, manakala tiga lagi wanita yang berusia antara 28 tahun hingga 64 tahun membabitkan pelbagai kesalahan termasuk kes dadah dan jenayah lain," katanya ketika ditemui di Pusat Koreksional Batu Gajah, di sini hari ini.