MELAKA: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelebang, Farzana Hayani Mohd. Nasir tidak mahu memperlahankan rentak kempen, sebaliknya bersedia ‘masuk gear 10’ dalam pecutan akhir bagi memastikan setiap peluang bertemu pengundi dimanfaatkan sepenuhnya.

Mesra dipanggil Nana, calon berusia 26 tahun itu berkata, baki tempoh kempen akan digunakan untuk memperhebatkan gerak kerja di seluruh Kelebang dengan memperbanyakkan program santai dan pertemuan secara dekat bersama masyarakat.

Katanya, jika sebelum ini jadual kempen sudah cukup padat, tempoh berbaki sebelum hari pengundian pada 14 November ini akan menyaksikan jentera PH bekerja dengan lebih agresif.

“Orang tengok Nana sekarang sudah masuk gear lima. Nana kata, kalau ada gear 10, memang kita akan terus ke gear 10.