PETALING JAYA: Kerajaan bersetuju meluluskan pindaan perintah bagi membolehkan kuasa perundangan Persekutuan dalam bidang alam sekitar diserahkan kepada Sarawak.
Jurucakap Kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, keputusan dicapai selepas Jemaah Menteri menerima memorandum daripada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam berhubung pindaan perintah kuasa perundangan bagi negeri itu.
Katanya, kelulusan Jabatan Peguam Negara telah diperoleh untuk perintah tersebut dan akan diangkat untuk mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
“Keputusan ini mencerminkan komitmen perdana menteri dan kerajaan Madani untuk terus memperkukuh pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), khususnya dalam memastikan pemberian kuasa perundangan persekutuan kepada kerajaan Sarawak dapat dilaksanakan secara teratur dan berkesan, selaras Perkara 95C Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.










