KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Securities Bhd (Bursa Securities) mengarahkan Zetrix AI Bhd menyelesaikan kewajipan pembayaran dividen akhir 2025 serta mendedahkan maklumat material mengenai beberapa perkembangan penting dalam syarikat itu.

Pengawal selia pasaran modal berkenaan menetapkan dua tarikh akhir, iaitu 11 November ini bagi pendedahan maklumat material dan 23 November untuk memenuhi keperluan pembayaran dividen.

Bursa Securities dalam kenyataan berkata, pihaknya memandang serius kegagalan Zetrix membayar dividen akhir 2025 sebanyak 2.89 sen sesaham, selain keputusan menarik balik dividen interim pertama 2026 sebanyak 0.25 sen sesaham yang sudah diisytiharkan.

Kebimbangan pengawal selia turut membabitkan kedudukan kewangan Zetrix, termasuk kiriman wang tertunggak kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta tuntutan pembayaran daripada JPJ dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).