KUALA LUMPUR: Kementerian Ekonomi menerima 9,955 cadangan projek pembangunan baharu dan dalam pelaksanaan yang bernilai RM944 bilion bagi tahun 2027.
Kementerian itu memaklumkan, siling pembangunan sebanyak RM80.4 bilion diperlukan untuk pertimbangan di bawah proses perancangan pembangunan 2027.
"Di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026-2030, kementerian dan agensi boleh mengemukakan permohonan bagi cadangan program serta projek pembangunan untuk pertimbangan Kementerian Ekonomi menerusi proses 'rolling plan'," menurut jawapan bertulis kementerian itu di Parlimen semalam.
Ia bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Doris Sophia Anak Brodi (GPS-Sri Aman) mengenai mekanisme yang digunakan kerajaan untuk memastikan setiap pengumuman projek pembangunan disertai dengan peruntukan jelas, garis masa pelaksanaan, sasaran dan agensi yang bertanggungjawab.










