SHAH ALAM: Kebimbangan penduduk terhadap kesan aktiviti penerokaan hutan di sekeliling Hutan Simpan Bukit Cherakah menjadi kenyataan apabila beberapa kawasan ibu negeri Selangor dilanda banjir kilat berulang sepanjang tahun ini termasuk kejadian terbaharu minggu ini.
Keadaan itu didakwa mempunyai kaitan dengan aktiviti pembersihan hutan di pinggir kawasan simpan berkenaan susulan sebahagian kawasan hutan seluas lebih 1,200 hektar itu dikatakan telah dinyahwarta.
Penyahwartaan berkenaan didakwa dibuat berdasarkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 2000, sebelum diwartakan pada 2022.
Pengerusi Permuafakatan Persatuan Penduduk Puncak Alam, Mohd. Hanif Md. Sultan berkata, kawasan 360 darjah di sekeliling Hutan Simpan Bukit Cherakah kini berdepan kejadian banjir kilat berulang sepanjang tahun ini, termasuk insiden terbaharu, susulan aktiviti pembersihan hutan di pinggir kawasan simpan itu.








