SEPANG: Satu daripada dua tapak projek pengukuhan ban atau benteng bagi menangani risiko banjir di Kampung Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang di sini, kini mencapai kemajuan 80 peratus dan dijangka siap sepenuhnya minggu depan, lebih awal daripada jadual asal pada Januari 2027.

Projek di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu menggunakan teknologi Panel Konkrit Pratuang Sistematik dan Serbaguna menerusi kaedah Sistem Pratuang Skematik (SPS), bagi mengukuhkan ban tanah sedia ada yang sering terhakis akibat arus deras Sungai Langat.

Jurutera Projek Universal Precast System, Luqman Hakim Omar, berkata projek yang bermula pada 23 September lalu kini memasuki fasa akhir, dengan baki 20 peratus kerja, termasuk proses konkrit dijangka diselesaikan hujung minggu ini sebelum diserahkan kepada JPS minggu depan.