KUALA LUMPUR – UMNO menuntut pelaksanaan keputusan Lembaga Pengampunan yang membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman pemenjaraan secara tahanan di rumah dilaksanakan serta-merta.Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tuntutan itu dibuat susulan titah tegas Yang di-Pertuan Agong berhubung pelaksanaan keputusan berkenaan yang tertakluk kepada syarat pembayaran denda RM50 juta.Menurutnya, UMNO menjunjung kasih atas titah Seri Paduka Baginda dan berpandangan bahawa sebarang tindakan mempertikaikan perintah pengampunan bersyarat itu menjurus kepada perbuatan mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong."Seperti titah Tuanku, memandangkan semua syarat dalam perintah pengampunan bersyarat itu telah dipenuhi, sebarang hujah mempertikaikan perintah tersebut adalah menjurus ke arah mengingkari perintah Yang di-Pertuan Agong," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.Sinar Harian sebelum ini melaporkan sebarang hujah yang mempertikaikan perintah pengampunan bersyarat membolehkan Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman pemenjaraan secara tahanan di rumah menjurus ke arah mengingkari perintah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.Baginda bertitah, tidak sepatutnya timbul kekeliruan dalam mentafsir perintah berkenaan kerana keputusan yang diperkenankan itu jelas, nyata dan tanpa sebarang ambiguiti.Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara (AGC) menangguhkan sementara pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan September lalu.AGC dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan, keputusan itu dibuat susulan timbul persoalan perundangan mengenai kesan pembayaran denda RM50 juta terhadap baki hukuman penjara Najib bagi kes SRC International.Dalam pada itu Sultan Ibrahim bertitah, perintah pengampunan bersyarat ini adalah jelas, nyata dan tanpa sebarang ambiguiti, serta tidak terkait dengan mana-mana kes lain terhadap beliau.Asyraf Wajdi berkata, UMNO berpendirian titah tegas berkenaan boleh membawa maksud wujudnya tindakan penderhakaan terhadap institusi diraja.Tambahnya, Malaysia tidak boleh dibiarkan ditadbir dan diurus oleh pihak yang jelas membelakangi peruntukan termaktub dalam Perlembagaan Negara."UMNO menuntut pelaksanaan keputusan Lembaga Pengampunan dibuat serta-merta dan pihak yang mengingkari perintah ini perlu dikenakan tindakan tegas berdasarkan undang-undang," katanya.Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, UMNO bersama seluruh rakyat Malaysia berdiri teguh menjunjung kedaulatan institusi Yang di-Pertuan Agong.Beliau turut berharap agar Allah SWT sentiasa memelihara kemuliaan Seri Paduka Baginda serta menyelamatkan Malaysia daripada pihak yang cuba merobek kedaulatan institusi payung negara.