Tokyo: Jepun melancarkan kempen operasi polis selama sebulan bermula 1 November lalu bagi menjejaki kira-kira 660 suspek yang masih bebas termasuk individu yang dikaitkan dengan kes pembunuhan, pembakaran sengaja dan keganasan terkenal di negara itu.
Menerusi kempen dikenali sebagai 'Bulan Memperkukuh Siasatan Terhadap Suspek Dikehendaki', pihak berkuasa menggesa orang ramai menyalurkan maklumat melalui laman sesawang rasmi dan media social seperti yang dilaporkan South China Morning Post.
Bekas peguam jenayah yang juga pengasas pusat pemikir Keadilan Jenayah Masa Hadapan di Tokyo, Shinichi Ishizuka berkata, sebahagian suspek sudah menghilangkan diri sejak 1970-an dan terus diburu kerana kebanyakan kesalahan mereka tidak mempunyai masa pendakwaan.








