KUALA LUMPUR: Kemenangan ke atas Jepun menjadi keutamaan skuad hoki lelaki negara dalam misi Speedy Tigers menutup aksi peringkat kumpulan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) dengan keputusan positif, sekali gus melupakan kekalahan kepada India, semalam.

Ketua jurulatih negara, Brendon Carolan berkata, beliau melihat perkembangan positif dalam persembahan anak buahnya, termasuk ketika berdepan India, walaupun terpaksa menerima kekalahan 4-2.

Menurutnya, layangan kad kuning selama 10 minit pada satu detik penting perlawanan mengubah momentum permainan dan menyukarkan usaha Malaysia untuk mengekalkan rentak.

Bagaimanapun, Carolan berpendapat prestasi pasukan menunjukkan peningkatan berbanding ketika beraksi pada Sukan Asia, sekali gus membuktikan jurang keupayaan dengan pasukan lawan semakin mengecil.