Kuala Lumpur: Peguam Datuk Seri Najib Razak mendesak agar bekas Perdana Menteri itu dipindahkan serta-merta dari Penjara Kajang ke tahanan di rumah susulan penjelasan Istana Negara bahawa semua syarat pengampunan diraja bersyarat sudah dipenuhi.

Menurut Muhammad Farhan Muhammad Shafee, tiada lagi sebarang dasar undang-undang atau asas bagi pihak berkuasa berkenaan untuk terus menahan Najib di Penjara Kajang.

"Oleh itu, tiada sebarang asas bagi pihak berkuasa berkenaan untuk terus menahan Datuk Seri Najib di Kajang walau sesaat.

"Pihak berkuasa mesti memindahkan beliau dengan segera ke kediamannya di Jalan Langgak Duta untuk menjalani tahanan di rumah, sebagaimana yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim," katanya dalam satu kenyataan hari ini.