LONDON – Pengurus Aston Villa, Unai Emery menyifatkan Manchester United berada pada tahap sama seperti Barcelona menjelang pertembungan kedua-dua pasukan dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), malam ini.

Menurut Emery, reputasi dan kualiti dimiliki The Red Devils sangat hebat walaupun bergelut pada musim ini sekali gus meramalkan perlawanan yang sukar di Old Trafford nanti.

“Pada malam ini, saya jangka United bakal beraksi pada tahap sama seperti Barcelona. Inilah persediaan yang cuba kami terapkan kepada pemain kerana perlawanan itu sudah tentu sangat mencabar,” katanya.

Emery turut mengakui rekod buruk Villa di Old Trafford menjadi satu lagi faktor yang perlu diberi perhatian apabila mereka gagal mencatat kemenangan di gelanggang itu sepanjang empat tahun lalu.