TANGGA BATU - Selagi jam belum menunjukkan pukul 2 pagi, selagi itu calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang, Farzana Hayani Mohd Nasir belum boleh pulang ke rumah sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.Farzana, 26 atau lebih mesra disapa Nana berkata, beliau bersama jentera kempen akan terus bergerak secara agresif bagi mendekati seramai mungkin pengundi, khususnya menjelang hari-hari terakhir kempen.Menurutnya, pelbagai pendekatan dilaksanakan termasuk program ziarah kasih, walkabout di kawasan tumpuan awam serta kunjungan dari rumah ke rumah bagi mendapatkan maklum balas penduduk."Selagi belum jejak 2 pagi, selagi itu kita tidak dibenarkan balik rumah. Setiap hari balik jam 2 pagi," katanya sambil ketawa.Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadiri ceramah berkelompok bersama Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim.Mengulas penerimaan pengundi, Farzana berkata, maklum balas diterima setakat ini amat positif apabila penduduk menyambut baik kehadirannya sebagai calon muda yang diketengahkan PH.Katanya, sepanjang tempoh kempen, beliau menganggarkan sudah mendekati sekitar 50 peratus pengundi, manakala pergerakan khusus di DUN Klebang menyaksikan hampir 80 hingga 90 peratus penduduk berjaya disantuni.Katanya, antara isu utama dibangkitkan penduduk ialah peluang pekerjaan untuk golongan belia, kebajikan wanita khususnya ibu tunggal, nasib nelayan serta petani dan masalah banjir yang berlarutan di Seberang Gajah serta Bukit Rambai."Isu yang sering Nana bangkitkan sejak awal kempen ialah golongan belia yang berdepan kekurangan peluang pekerjaan di Klebang."Selain itu, isu wanita khususnya ibu tunggal yang perlu keluar mencari pendapatan dalam masa sama menguruskan keluarga dan urusan harian di rumah," katanya.Farzana berkata, beliau turut memberi perhatian kepada nasib golongan wanita yang terpaksa meninggalkan kerjaya selepas melahirkan anak bagi memberi tumpuan kepada keluarga.Katanya, kerjasama dengan kementerian dan agensi berkaitan akan diusahakan bagi membantu golongan berkenaan mendapatkan bantuan bersesuaian termasuk menerusi inisiatif kerajaan Persekutuan.Beliau turut berkongsi pengalaman ketika melakukan ziarah kasih terhadap sebuah keluarga yang mempunyai tujuh hingga lapan anak, dengan suami bekerja sebagai pengawal keselamatan."Keluarga berkenaan berdepan kekangan pendapatan untuk menampung keperluan harian sekali gus memerlukan perhatian serta bantuan sewajarnya."Insya-ALLAH, kita akan bekerjasama dengan kementerian dan agensi terlibat untuk mencari jalan penyelesaian setakat kemampuan kita," katanya.