TANGGA BATU - Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim mendedahkan beliau sendiri mencadangkan nama Farzana Hayani Mohd Nasir kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk diketengahkan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.Beliau berkata, cadangan itu dibuat berdasarkan rekod khidmat dan komitmen Farzana atau lebih mesra disapa Nana bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang kerana aktif membantu masyarakat serta turun padang mendekati penduduk di kawasan berkenaan sejak beberapa tahun lalu.Menurutnya, rekod kerja yang baik menjadi antara kriteria penting sebelum seseorang individu diketengahkan sebagai calon pilihan raya."Bukan saya pilih, saya cuma cadangkan kepada Perdana Menteri. Beliau tanya kenapa pilih Nana? Saya tunjuk rekod kerja Nana di Klebang, bagaimana beliau membantu orang, melakukan ziarah, turun ke lapangan dan melihat keadaan semasa di kawasan itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini."Sebab apa penting kerana sebelum kita nak kemukakan mana-mana calon untuk diketengahkan, harus ada rekod kerja yang baik," katanya ketika berucap pada ceramah kelompok kempen PH di DUN Klebang pada Sabtu.Katanya, usia muda tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menafikan peluang seseorang individu memimpin atau menawarkan khidmat kepada rakyat."Walaupun sebelum ini beliau pernah bertanding di DUN Sungai Rambai, masih ada pihak yang memperlekehkan beliau seolah-olah anak muda tidak mempunyai pengalaman."Takkan umur 60 tahun sahaja ada pengalaman? Yang ini umur tak sampai 30 tahun lagi dikatakan tiada pengalaman dan tidak boleh diketengahkan."Kalau begitu keadaannya, sampai bila-bilalah negara dan negeri kita akan dipimpin golongan 'dinosaur'," katanya.Beliau berkata, PH mahu menawarkan seorang pemimpin muda yang mempunyai cita-cita serta idealisme tinggi untuk membawa perubahan dan membangunkan kawasan Klebang.Tambahnya, PRN Melaka merupakan peluang kepada rakyat untuk membuat penilaian terhadap prestasi pentadbiran kerajaan negeri sepanjang tempoh lima tahun lalu sebelum menentukan kepimpinan yang mahu dipilih.