Kuala Lumpur: Malaysia menzahirkan solidariti bersama rakyat Poland dan merakamkan takziah kepada keluarga mangsa susulan insiden tembakan di Kraków, yang mengorbankan enam nyawa serta menyebabkan beberapa individu lain cedera.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia turut berdukacita susulan insiden yang meragut nyawa orang awam tidak berdosa dan mencederakan ramai lagi, selain mendoakan agar mereka yang cedera segera sembuh.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap laporan yang mengaitkan penyerang dengan pengaruh fahaman ekstremisme berhaluan kanan.

"Tragedi ini menekankan keperluan untuk memerangi segala bentuk keganasan, termasuk ancaman ekstremisme ganas berhaluan kanan yang semakin meningkat. Tiada ideologi yang boleh menghalalkan pembunuhan orang tidak berdosa," katanya menerusi hantaran di Facebook semalam.