KUALA LUMPUR: Ketetapan berhubung proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 bakal terjawab esok susulan mesyuarat khas diadakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Mesyuarat berkenaan akan dipengerusikan Pengerusi, Datuk Seri Ramlan Harun.

Antara yang akan diumumkan ialah tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, tempoh berkempen dan hari pengundian mengikut peruntukan undang-undang bagi PRN Melaka.

Mesyuarat khas itu juga dijangka memperincikan pengurusan pilihan raya termasuk penggunaan pusat penamaan calon, pusat mengundi dan persiapan petugas bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar.

Perhatian turut diberikan kepada jumlah pengundi layak mengundi pada PRN Melaka ini, termasuk pengundi baharu.