Tidak semua orang menemui kecintaan terhadap kerjaya sejak awal, malah ada yang mengambil masa bertahun-tahun sebelum menyedari bidang yang pernah diragui itulah sebenarnya menjadi sebahagian besar membentuk pengalaman paling bermakna.
Itu antara yang dikongsi Pakar Psikologi Kaunseling dan Kanak-kanak, Kaunselor Berdaftar serta Pengasas CPC International, Dr Noor Aishah Rosli, 51, yang pernah mengakui tidak menyukai bidang psikologi ketika mula melanjutkan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 1995.
Ketika itu, beliau yang berusia 20 tahun tidak melihat hala tuju kerjaya yang jelas dalam bidang berkenaan, malah berdepan tanggapan sinis orang sekeliling sehingga ada saudara-mara bergurau beliau bakal bekerja di 'hospital gila.'










