NARATHIWAT (THAILAND): Pihak berkuasa Thailand memperketat kawalan keselamatan di seluruh wilayah Selatan Thai selama 10 hari bermula 6 hingga 15 November ini susulan amaran kemungkinan serangan kumpulan pemisah terhadap orang awam dan pasukan keselamatan.
Amaran itu dikeluarkan selepas Komando Polis Wilayah Sempadan Selatan mengesan pergerakan kumpulan berkenaan yang dipercayai sedang membuat persiapan melancarkan serangan di beberapa kawasan sasaran.
Susulan perkembangan itu, Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) mengarahkan semua unit bawahannya meningkatkan langkah pencegahan dan pemantauan ke tahap tertinggi sepanjang tempoh berkenaan.
Jurucakap ISOC 4 berkata, maklumat risikan menunjukkan terdapat arahan daripada pemimpin kumpulan pemisah untuk melancarkan serangan terhadap orang awam yang dikenal pasti bekerjasama dengan kerajaan.








