KUCHING: Kekuatan politik penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asajaya, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, dipercayai antara faktor dipertimbangkan PAS Sarawak sehingga parti itu tidak menyasarkan kawasan berkenaan pada Pilihan Raya Negeri Ke-13 (PRN13).
Sebaliknya, PAS Sarawak hanya mengintai tiga kerusi DUN iaitu Samariang, Sebuyau dan Beting Maro, sekali gus menimbulkan persoalan mengapa Asajaya tidak termasuk dalam radar parti itu meskipun mempunyai kedudukan strategik di Samarahan.
Walaupun PAS tidak menyatakan secara terbuka bahawa kekuatan Gabungan Parti Sarawak (GPS) atau kedudukan Abdul Karim menjadi sebab khusus Asajaya tidak dipilih, seorang pemerhati politik yang juga bekas anggota perisikan tentera percaya faktor itu antara pertimbangan utama parti berkenaan.










