Kuching: Sekurang-kurangnya lima penyandang termasuk dua timbalan menteri dalam Kabinet Sarawak dijangka tidak dicalonkan semula pada Pilihan Raya Negeri Ke-13 (PRN13) berikutan faktor kesihatan yang tidak mengizinkan.
Menurut sumber, seorang daripada penyandang terbabit dikatakan akan berundur selepas menghidap penyakit kronik sehingga terpaksa menjalani pembedahan memotong kaki baru-baru ini.
Selain itu, dua timbalan menteri, termasuk seorang wanita, juga dikatakan tidak lagi mempunyai tahap kesihatan yang mengizinkan untuk terus bertanding pada pilihan raya negeri kali ini.
Perkembangan itu memberi gambaran kemungkinan berlaku perubahan dalam senarai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), khususnya membabitkan penyandang yang berdepan masalah kesihatan dan tidak lagi mampu memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat.









