KUALA LUMPUR: Sistem Pesawat Tanpa Pemandu Altitud Sederhana Ketahanan Panjang (MALE UAS) Anka-S milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mencatatkan 232.7 jam masa penerbangan setakat 22 September lalu, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata, jumlah jam itu merangkumi penerbangan ujian, latihan, pembangunan kompetensi, aktiviti berkaitan penyelenggaraan dan ujian sistem darat.

"Anka-S dikendalikan di Pangkalan Udara Labuan menjadi aset penting dalam memperkukuh keupayaan Pengawasan, Pengecaman dan Perisikan (ISR) serta Kesedaran Domain Maritim (MDA) negara," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Mohamed Khaled berkata, pengoperasian itu selaras dengan Kertas Putih Pertahanan dan Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55).