Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berada di Melaka baru-baru ini bagi menyempurnakan Persidangan Penjanaan Kuasa Turbin Gas di Alor Gajah. (Gambar Facebook)PETALING JAYA: Parti politik Semenanjung diingatkan tidak mempolitikkan kehadiran Fadillah Yusof di Melaka ketika tempoh kempen PRN sebagai modal politik menjaja naratif kerjasama Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Ini kerana kata penganalisis, tindakan itu berisiko mengundang kemarahan pengundi Sarawak.

Felo Akademi Sains Malaysia, Jayum Jawan, berkata parti Semenanjung kecuali DAP, umumnya tidak mempunyai pengaruh dalam politik Sarawak, justeru cubaan laskar siber membangkitkan isu itu boleh memakan diri.

Katanya, GPS tidak mempunyai hubungan rapat dengan Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN), malah pernah meninggalkan BN selepas kekalahan gabungan itu dalam PRU14 pada 2018.