MELAKA: Calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diingatkan agar tidak bersikap 'besar kepala' atau berasa memiliki kelebihan hanya kerana mereka mewakili blok parti pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, Adam Adli Abd Halim, berkata sebaliknya parti itu mahu menyemarakkan proses demokrasi di Melaka dengan penuh rasa rendah diri, termasuk mencuba nasib sebagai pasukan 'underdog'.
Namun, Adam Adli yang juga Pengarah Komunikasi PKR merangkap Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, mengakui kedudukan sebagai parti pimpinan Perdana Menteri turut mewujudkan tekanan tersendiri untuk meraih kemenangan dan memperoleh kerusi di Melaka.









