Ganzhou, China: Kehilangan anak perempuan berusia sembilan tahun dalam kemalangan jalan raya mendorong seorang bapa bertindak sebagai pemerhati awam bagi memantau dan mendedahkan kesalahan dilakukan pemandu kenderaan berat di jalan raya, lapor South China Morning Post.
Pada 1 Ogos lalu, tragedi menimpa keluarga Wu Zhisheng apabila isterinya yang menunggang basikal elektrik bersama dua anak perempuan mereka dirempuh sebuah lori jongket ketika melalui persimpangan jalan.
Rempuhan itu mengorbankan anak sulung mereka, Zijin yang meninggal dunia di tempat kejadian manakala isterinya dan anak bongsu berusia lima tahun mengalami kecederaan.
Sebaik tiba di tempat kejadian, Wu menyaksikan pemandangan menyayat hati apabila isterinya merintih kesakitan sementara anak bongsunya menangis memanggil kakaknya yang sudah meninggal dunia.









