Alor Setar: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ismail Sabri Yaakob, antara 6,442 graduan Universiti Utara Malaysia (UUM) yang bakal diraikan pada Majlis Konvokesyen Ke-39 universiti itu bermula 15 hingga 19 November ini.

Ismail Sabri antara tokoh yang bakal menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) selepas berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Sains Politik.

Naib Canselor UUM Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, majlis yang berlangsung di Dewan Mu'adzam Shah, kampus UUM itu membabitkan sembilan sesi.

Katanya, Tuanku Canselor Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan mengisytiharkan sesi pertama serta mengurniakan ijazah kepada graduan.