Naib Presiden Umno Johari Abdul Ghani sertai calon BN di DUN Duyong, Noor Helmy Abdul Halem, dalam program 'walkabout' di Kampung Bukit Godek, Semabok Dalam, sempena PRN Melaka.MELAKA: Calon Barisan Nasional (BN) DUN Duyong Noor Helmy Abdul Halem berpotensi diberi peluang menganggotai barisan Exco kerajaan negeri sekiranya BN berjaya mengekalkan pentadbiran Melaka, kata Johari Abdul Ghani.

Naib presiden Umno itu berkata, hal ini kerana Noor Helmy telah menunjukkan komitmen berterusan menyantuni masyarakat walaupun tidak memegang sebarang jawatan dalam kerajaan negeri ketika ini.

“Saya harap masyarakat di sini dapat beri sokongan kepada Noor Helmy supaya dia teruskan kerja-kerja ini dan diharapkan suatu hari nanti kalau kita berjaya mengekalkan kerajaan ini, mungkin bawa muka baru jadi exco untuk terus berkhidmat dengan lebih dekat,” katanya selepas menyertai Noor Helmy dalam program 'walkabout' di Kampung Bukit Godek, Semabok Dalam.