KUALA LUMPUR: Kerugian akibat penipuan dalam talian di Malaysia mencecah hampir RM680 juta dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, menunjukkan skala ancaman jenayah kewangan yang terus memberi tekanan kepada pengguna dan sistem kewangan negara.
Pengerusi Asian Institute of Chartered Bankers (AICB), Tan Sri Azman Hashim, berkata jumlah berkenaan dicatatkan selepas kerugian hampir RM3 bilion akibat penipuan dalam talian direkodkan sepanjang 2025.
"Skala ancaman ini jelas di Malaysia. Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan hampir RM3 bilion kerugian akibat penipuan dalam talian pada 2025, dengan hampir RM680 juta sudah hilang dalam tempoh empat bulan pertama 2026," katanya ketika berucap pada Persidangan Antarabangsa mengenai Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan (IFCTF) 2026, di sini, hari ini.








